~PENGUGUMAN~

HARAP MAAF, BLOG INI MASIH DIDALAM PROSES PEMBIKINAN, SILA LAWAT KEMBALI KEMUDIAN

Khamis, 12 November 2009

~ MASYARAKAT MELAYU BENGKULU~

Kalau kita sebut saja suku masyarakat melayu Jawa, Minang dan Banjar pasti saja orang akan tahu dan tak perlu lagi kita terangkan asal usul mereka, ini kerana suku masyarakat melayu tersebut bolehlah dikatakan sebagai majoriti dalam masyarakat melayu, yakni ramai bilangannya didalam masyarakat. Namun sebenarnya masih ada suku etnik melayu lain yang terdapat dalam suku etnik melayu ini, contohnya masyarakat bengkulu.
Masyarakat Bengkulu bolehlah dikatakan sebagai masyarakat yang agak minoriti dalam suku masyarakat melayu ini. Berkulit agak cerah, dan bermata sepet , masyarakat Bengkulu mirip peranakan cina, Berbanding dengan Masyarakat melayu lain, masyarakat Bengkulu ini kurang dikenali perihal sejarah dan warisan mereka.
Untuk mengenali lebih lanjut akan masyarakat Bengkulu ini, eloklah disingkap satu persatu mengenai asal, sejarah serta warisan masyarakat Bengkulu ini. Walaupun agak ringkas diharap dapat memberi sedikit kefahaman mengenai masyarakat yang unik ini.

~MASYARAKAT BENGKULU DI MALAYSIA~
Seperti juga suku etnik melayu lain, Penghijrahan nenek moyang masyarakat Bengkulu sekitar tahun 1870-an hingga awal 1900-an dari tanah asal tumpah darah mereka yang dinamakan Bengkulu ( dikenali juga sebagai Bencoolen, Benkoelen atau Bangkulen) iaitu sebuah provinsi yang terletak di pulau Sumatra, Indonesia .merupakan titik tolak adanya generasi Bengkulu di Malaysia hari ini.
Pemerintahan kejam dan zalim kerajaan Belanda di tanah asal tumpah darah mereka itu memaksa mereka meredah lautan dengan hanya menaiki perahu bercadik ( kapal Layar) untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa,
Kini masyarakat keturunan Bengkulu ini banyak terdapat sekitar Hulu Selangor, Kajang dan Gemas. juga ada yang berkampung di sekitar tempat lain di Negeri Sembilan, Melaka juga kedah. Malah ditempat –tempat lain juga.

~ADAT, BAHASA dan WARISAN ~
Lumrah Melayu berpegang pada adat, begitu juga dengan Keturunan bengkulu yang kaya dengan adat dan warisan, berkait dengan lingkung kehidupan manusia, sambutan peristiwa besar dalam hidup manusia seperti Kelahiran, Perkahwinan dan kematian disulam dengan adat masyarakat Bengkulu.
Jika masyarakat Jawa, minang dan banjar punya bahasa sendiri, begitu juga dengan masyarakat Bengkulu, terdapat banyak sebenarnya bahasa asal masyarakat Bengkulu, namun bahasa melayu loghat Bengkulu ( Bulang) serta bahasa serawai sahaja yang masih kekal digunakan kini.

Tarian dan warisan seni suara bagi masyarakat Bengkulu antara lainnya ialah tarian Andun, Kejai serta Gandai , serta banyak lagi tarian lain. Manakala paluan Rebana adalah warisan yang masih lagi dimainkan oleh masyarakat Bengkulu untuk memeriahkan majlis perkahwinan, cukur jambul dan majlis -majlis keraiaan lain.
Tidak lengkap warisan sesuatu masyarakat itu tanpa makanan tradisinya, kueh tat, kueh bebokol, bebotok dan ocong-ocong adalah makanan tradisional masyarakat Bengkulu yang digemari hingga ke hari ini, malah terdapat juga beberapa jenis kuih muih dan lauk pauk tradisional lain bagi masyarakat Bengkulu.

~MASYARAKAT MELAYU BENGKULU HARI INI~
Walaupun kemodenan semakin rancak, budaya dan adat sesuatu kaum itu harus terus dikekalkan untuk memastikan kelangsungannya. Rata- rata masyarakat Bengkulu hari ini masih mampu bertutur dalam bahasa Bengkulu.
Dan seperti juga suku masyarakat lain, anak Bengkulu kini semakin dikenali dengan kejayaan mereka, antara nya ialah Dato’ haji Zainal Abidin haji Sakom yang merupakan Pengerusi yayasan basmi kemiskinan (YBK) malaysia yang berterusan menyumbangkan jasa beliau.
Atau sebut sahaja nama Datuk Seri Ab Hakim bin Borhan iaitu mantan Datuk Bandar kuala Lumpur dari tahun 2006 hingga 2008, yang berpengalaman luas dalam bidang urus tadbir dan pernah menjawat banyak jawatan utama dalam instistusi penting.
Didalam industri hiburan tanah air contohnya, kita tidak kurang dengan anak Bengkulu yang membanggakan, Erra Fazira bolehlah dianggap seorang penyanyi dan pelakon yang amat dikenali.
Malah terdapat ramai lagi anak Bengkulu yang Berjaya dalam bidang yang mereka ceburi, sama ada di dalam perniagaan, perkhidmatan persekutuan , ketenteraan atau apa jua bidang yang mereka ceburi, bukankah mereka ini telah membuktikan bahawa Walaupun masyarakat Bengkulu itu sendiri agak minoriti, namun mereka Berjaya mengharumkan nama anak Bengkulu lain amnya.

~MASA DEPAN ANAK BENGKULU~
Mungkin sudah tiba masanya bagi masyarakat melayu Bengkulu mula bangkit untuk lebih dikenali, memetik kata-kata Datin Seri Utama Masnah Rais yang juga adalah seorang anak Bengkulu “ Kita bukan si –tanggang yang seperti kacang lupakan kulit, lantas malu menerima hakikat asal usul” kita perlu mula melakukan sesuatu supaya adat dan warisan akan terus kekal selamanya.
Bagi masyarakat Melayu lain, inilah kami masyarakat Bengkulu yang amat unik, dengan budaya, adat dan warisan. Kenali kami dan pasti anda akan kagumi kami.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Datuk Ismail Kamus adalah tokoh ulama keturunan Bengkulu

farrantdaisley berkata...

Blue Titanium Art - Casino Games
Learn the ins and outs of titanium earrings the original blue titanium cerakote, the perfect blend of the blue titanium dive knife and red, men\'s titanium wedding bands and the right amount of titanium tv heat titanium cerakote for your favorite slot game.

Catat Ulasan

Followers

 

Warisan Bengkulu. Copyright 2009 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com