~PENGUGUMAN~

HARAP MAAF, BLOG INI MASIH DIDALAM PROSES PEMBIKINAN, SILA LAWAT KEMBALI KEMUDIAN

Khamis, 12 November 2009

~Majlis makan malam ~

~MAJLIS MAKAN MALAM ANJURAN PERSATUAN BENGKULU MALAYSIA CAWANGAN SUNGAI CHOH~

Bertempat di Hotel The Regency Kuala lumpur pada tanggal 07 november 2007 yang lepas telah diadakan majlis makan malam warisan Bengkulu dengan tema ‘ Uang kite gale’ anjuran Persatuan Bengkulu Malaysia cawangan Sungai choh.
Majlis yang julung kali diadakan oleh cawangan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara waris keturunan Bengkulu. Dengan harapan dengan adanya majlis seperti ini dapat memberi pendedahan yang lebih mendalam mengenai warisan Bengkulu supaya warisan yang ada dapat dikekalkan, malah majlis ini juga diadakan untuk memberi penghormatan kepada anak Bengkulu yang berjaya dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Dirasmikan oleh tetamu kehormat iaitu Yang Berbahagia Datin Seri Utama Masnah Rais yang juga merupakan anak jati Bengkulu, majlis yang bermula lebih kurang jam 7.30 minit malam itu berlangsung dengan amat meriah sekali, diiringi persembahan nyanyian dan kebudayaan oleh Band D’Semenggos dari angkatan tentera Malaysia menjadikan suasana malam itu sebagai satu malam yang cukup hebat sekali, tambahan pula Datin Seri utama Masnah Rais sempat menyumbangkan 2 buah lagu yang cukup menghiburkan , Beliau bukan sahaja mampu menyampaikan lagu tersebut dengan baik, malah hadirin pada malam itu bersama – sama menyanyikan lagu yang didendangkan.
Gandingan juruacara pada majlis tersebut amat bertenaga sekali. Celoteh Bekas pembaca berita iaitu Alizah bt Akasha dan Hj Sameon bin sidek menghiburkan semua yang hadir. Usik mengusik sesame mereka menghidupkan lagi suasana pada malam itu.
Didalam kemeriahan majlis yang berlangsung, kebajikan kepada mereka yang memerlukan juga tidak boleh kita lupakan. Anak-anak yatim diberikan sumbangan agar beban yang ditanggung mereka dapat dikurangkan. Disamping itu, cabutan bertuah juga diadakan, meninggalkan kenangan manis buat hadirin yang bertuah pada malam itu.
Kemuncak acara pada malam itu adalah penganugerahan penghormatan kepada dua orang icon anak Bengkulu.
Penerima pertama adalah Dato Haji Zainal Abidin bin Sakom, dilahirkan pada 14 ogos 1950 dan merupakan pengerusi Yayasan basmi kemiskinan (YBK) Malaysia, beliau juga adalah Bendahari UMNO bahagian ulu Selangor, pernah menjadi setiausaha politik kepada bekas menteri besar iaitu Tan Sri Muhammad bin Muhd Taib dari tahun 1986 hingga 1997 sebelum menjadi Adun N7 Hulu bernam dari 1995 hingga 1999 dan sebagai Adun N9 Batang kali dari tahun 1999 hingga 2008.
Mempunyai pengalaman luas dalam NGO dan berpengalaman sebagai Ahli panel dan penceramah bebas, beliau dipilih untuk menerima anugerah penghormatan kali ini.

Seorang lagi tokoh penting yang dianugerahkan penghormatan yang sama adalah Mantan Datuk Bandar kuala Lumpur iaitu Datuk Seri Hakim bin Borhan, dilahirkan di kampung Sungai Choh pada 17 julai 1951,menjadikan kepayahan diusia kecil untuk bangkit dan menjadikannya motivasi untuk berjaya, mempunyai kelulusan B.A (Hons) Economic dari Universiti Malaya pada tahun 1974, beliau dilantik ke jawatan pegawai tadbir dan Diplomatik Jabatan Perdana menteri dalam Kabinet dasar, sebelum dilantik sebagai penolong pengarah jabatan perkhidmatan awam di bahagaian gaji pada tahun 1976 hingga tahun 1980.
Pada bulan April 1980 beliau mengambil cuti untuk melanjutkan pelajaran di university Saitama, jepun selama dua tahun.
Pulang ke tanah air pada 1982 kemuncak kerjaya beliau semakin menonjol apabila dilantik ke banyak jawatan penting di beberapa agensi kerajaan, antaranya pengarah jabatan pengangkutan jalan, yang ipertua majlis perbandaran Kelang, Yang dipertua Majlis perbandaran Subang, Timbalan ketua Setiausaha di kementerian pertahanan dan ketua setiausaha di kementerian wilayah persekutuan, pada 14 December 2006 beliau dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur selama dua tahun sebelum bersara pada tahun 2008.
Menjawat banyak jawatan penting dalam banyak Organisasi penting beliau adalah anak Bengkulu yang cukup berjaya, majlis pada malam itu menganugerhkan beliau penganugerahan kehormat icon anak Bengkulu.
Tidak lupa sebagai usaha mempromosi dan mengekalkan seni, budaya dan warisan Bengkulu, majlis malam itu diperkenalkan kepada paluan rebana dan pakaian tradisi majlis perkahwinan Bengkulu. Mungkin ramai yang sudah terlupa pada warisan ini, dan usaha ini dilakukan supaya ianya tidak akan lenyap serta memberi kesedaran kepada hadirin akan warisan sendiri.
Atas kesudian tetamu kehormat yang sudi meluangkan masa untuk bersama memeriahkan majlis malam itu, majlis menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga dan cenderahati kepada Yang Berbahagia Datin Seri Utama Masnah Rais. Kesudian beliau merasmikan majlis pada malam itu memberikan suntikan semangat kepada semua.
Dipengerusikan oleh Bregedier Jeneral Dato’ Nordin bin Haji Rahok sebagai pengerusi bagi majlis makan malam itu dan sokongan padu dari semua ahli jawatankuasa lain, memberikan kesinambungan dan halatuju yang jelas untuk Persatuan Bengkulu Malaysia cawangan Sungai Choh untuk terus mengekalkan budaya dan warisan Bengkulu dalam menempuh arus kemodenan.
Petikan kata Yang Berbahagia Datin Seri Utama Masnah Rais pada malam itu, “ tiada siapa yang akan mengekalkan seni ,budaya dan warisan kita, jika bukan kita sendiri” buat semua anak Bengkulu, inilah warisan kita, dan kita diamanahkan untuk terus mengekalkannya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Followers

 

Warisan Bengkulu. Copyright 2009 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com